KESEJAHTERAAN BERMULA DI RUMAH 2023
GARDENIA KL DORONG RAKYAT MALAYSIA UNTUK BERALIH DARI ‘CABARAN KE MENTALITI PENCABAR’

Survey dan Perbincangan Gardenia KL Dalam Meneliti Hubungan Antara Media Sosial, Unit Keluarga dan Kesihatan Mental

Gardenia KL Wellness Begins At Home 2023 membincangkan cabaran sebenar kehidupan dan cara praktikal untuk meningkatkan kesejahteraan mental. Panel terdiri daripada (dua dari kiri), Pengurus Besar, Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia Bakeries KL, Hazlinah Harun; Penunggang Basikal Trek Profesional Malaysia, Dato’ Azizulhasni Awang; Presiden MIASA, Anita Abu Bakar; dan Pengasas We & I Art, Zuraini Anuar.

Shah Alam, 12 Mei 2023 – Cabaran adalah sebahagian daripada hidup kita dan ia mula dihadapi seawal zaman kanak-kanak lagi. Cabaran juga merupakan salah satu faktor yang akan membentuk keperibadian dan perkembangan diri seseorang. Cabaran juga boleh membawa kepada kekecewaan berpanjangan yang berpotensi menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan mental seseorang di kemudian hari. Gardenia Bakeries KL (Gardenia KL), di bawah payung #GardeniaCares telah bekerjasama dengan SOSCILI bagi program Wellness Begins At Home-nya baru-baru ini dengan menganjurkan satu survey bertajuk ‘Kalis Koyak’ dan telah menemui hubung kait antara cabaran dan bagaimana cabaran mencorakkan tingkah laku dan kesejahteraan mental rakyat Malaysia.

“Ini merupakan edisi kedua Gardenia Wellness Begins At Home (Kesejahteraan Bermula Di Rumah), dan kami terus memberi tumpuan terhadap kesejahteraan mental, terutamanya di rumah. Sebagai sebuah jenama yang dipercayai ramai, Gardenia prihatin dan yakin tentang betapa pentingnya unit keluarga sebagai tunggak dalam sesebuah masyarakat. Kami berazam untuk terus membuka ruang seperti perbincangan panel Kesejahteraan Bermula Di Rumah 2023 Gardenia KL ini. Dengan perkongsian mereka yang berpengalaman dan pakar-pakar kesihatan mental kami bertekad untuk mengetengahkan perkara-perkara penting mengenai kesihatan mental dengan membantu melengkapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan berguna untuk menghadapi masa-masa yang mencabar,” jelas Pengurus Besar, Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun.

Ikuti pembentangan hasil survey dan perbincangan panel di @GardeniaKL Facebook di sini atau di Youtube

Survey ini telah disertai oleh sejumlah 1,020 responden dari Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang, yang terdiri daripada rakyat Malaysia berumur 17 tahun hingga 56 tahun dan ke atas. Responden terdiri daripada campuran individu yang bujang dan yang sudah berkahwin serta yang mempunyai anak dan juga tiada anak.

Adakah rakyat Malaysia bahagia?
Apabila ditanya jika mereka bahagia, hanya 19.1% daripada responden berkata mereka bahagia, manakala 40.3% berpendapat mereka masih sedang berusaha untuk mencapai kebahagiaan. Seramai 35% daripada responden berkata mereka berpuas hati dengan keadaan mereka tetapi tidak bahagia, manakala 5.7% berkata mereka tidak bahagia.

Kecenderungan memendam cabaran
Jawapan sebahagian besar daripada responden menunjukkan terdapat hubung kait antara cabaran dan kesejahteraan mental. Apabila menghadapi cabaran, responden berkata keyakinan diri mereka terjejas (57.7%), terasa seolah-olah gagal (56.3%), terasa keseorangan tanpa orang lain dapat membantu (51.8%), hilang pedoman dan tujuan hidup (50.4%) dan mengalami kemerosotan kesihatan mental (42.7%). Tingkah laku membimbangkan lain yang dialami apabila menghadapi cabaran termasuk lebih panas baran (38.2%), terlintas di fikiran untuk mencederakan atau membunuh diri (27%) dan terasa terdesak dari segi kewangan (25.6%).

Sokongan rakan dan keluarga
Dalam tinjauan ini, unit keluarga dan sistem sokongan adalah faktor penting yang dinyatakan oleh responden untuk menghadapi persekitaran yang mencabar. Responden yang sudah berkahwin dan berkeluarga lebih cenderung untuk berserah diri kepada Tuhan apabila menghadapi cabaran getir (58.2% responden berkahwin berbanding 43.5% bujang) dan bergantung kepada bantuan keluarga (21.2% berkahwin berbanding 15.7% bujang). Mereka juga jarang menggunakan mekanisme negatif untuk menghadapi situasi seperti mencederakan diri, merokok, menghisap vape atau minum alkohol.

Sebaliknya, responden lebih muda yang berumur 21 hingga 25 tahun lebih berkemungkinan untuk menggunakan mekanisme berikut untuk menangani cabaran, termasuk makan secara berlebihan (39.5% berbanding 23.7% daripada kategori umur lain), meluahkan isi hati kepada sesiapa yang sanggup mendengar (37.2% berbanding 25.8% daripada kategori umur lain), keluar membeli-belah (18.6% berbanding 10% daripada kategori umur lain), dan mencederakan diri sendiri (14.7% berbanding 9% daripada kategori umur lain).

Jika anda atau orang lain yang anda kenali menghadapi krisis kesihatan mental, sila hubungi MIASA di www.miasa.org.my. Pertubuhan ini menyediakan penilaian dan rundingan kesihatan mental, perkhidmatan kaunseling, terapi kerohanian, penilaian terapeutik, perkhidmatan psikologi dan sokongan rakan seperjuangan. Di samping itu, hubungi talian bantuan 24-jam MIASA di 1-800-820-066.

Kecenderungan tingkah laku lelaki dan wanita
Pemerhatian tentang tingkah laku mengikut jantina dalam survey ini mendapati lelaki (8.7%) lebih cenderung melakukan aktiviti yang menyebabkan ketagihan untuk menghadapi cabaran berbanding wanita (3.2%). Dari segi usaha mengatasi keadaan yang mencabar, lelaki lebih berkemungkinan merangka rancangan terperinci untuk menangani situasi mereka (21.7% lelaki berbanding 12.6% wanita), manakala wanita pula mungkin memilih untuk bersantai atau bercuti bagi menghadapi keadaan tersebut (34.2% wanita berbanding 25% lelaki).

Adakah media sosial mempengaruhi kesihatan mental golongan muda?
Apabila ditanya apakah perasaan responden apabila membaca hantaran media sosial tentang kejayaan rakan-rakan mereka, 32.3% daripada responden menyatakan mereka tumpang gembira dengan kejayaan rakan mereka. Bagaimanapun, 23% daripada jawapan yang diberikan masih menunjukkan responden rasa kurang bersemangat apabila dibandingkan dengan situasi diri sendiri.

Tambahan lagi, responden dalam kategori umur 26 hingga 30 tahun lebih berkemungkinan terasa murung apabila melihat hantaran rakan tentang hidup mereka di media sosial berbanding kumpulan lain (32% berbanding 23% dalam kumpulan lain). Responden yang menghadapi cabaran berkaitan kewangan didapati lebih cenderung untuk mengelakkan media sosial (purata 17.7% menghadapi cabaran kewangan berbanding 9.1% daripada cabaran lain).

Rakyat Malaysia lebih suka mengelak atau bersikap pasif apabila menghadapi cabaran
Tinjauan ini mendapati bahawa apabila menghadapi cabaran getir, hanya segelintir (11.3%) daripada responden menyatakan mereka mendapatkan bantuan profesional, manakala hanya 22.1% sedar mereka memerlukan bantuan. Dalam tinjauan ini, sebahagian besar daripada responden lebih suka mengambil pendekatan pasif apabila berdepan dengan masalah. Antara reaksi popular termasuk mengharapkan cabaran tersebut akan berlalu nanti (49.4%), menyerahkan segalanya kepada Tuhan (43.5%), dan mengelakkan diri daripada memikirkan tentang masalah (40.5%). Jawapan yang terima menunjukkan pilihan umum untuk menggunakan pendekatan ‘tunggu dan lihat’ dalam kalangan responden.

Melihat dari sudut pandangan positif atau negatif
Responden yang melihat dari sudut pandangan positif lebih cenderung melihat pembelajaran bermanfaat yang diperolehi daripada cabaran. Sebagai contoh, 53% daripada responden berkata mereka mendapat perspektif baharu dalam hidup, 33.9% berkata mereka menjadi lebih bertolak-ansur, manakala 21.6% berpendapat cabaran tersebut mendekatkan diri mereka kepada Tuhan.

Sementara itu, responden yang dipengaruhi secara negatif oleh cabaran merasakan bahawa mereka menghadapi kesukaran mempercayai orang lain (40.7%), mengalami kemurungan akibat kebimbangan mereka atau gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) (31.5%). Satu perkara menarik ialah responden berumur 21 hingga 25 tahun dalam survey menunjukkan kebarangkalian lebih tinggi mengalami isu kepercayaan dan PTSD. Antara jawapan lain termasuk (18.6%) responden merasakan mereka hanya hidup segan mati tak mahu, (14.5%) berpendapat mereka mengalami kenaikan berat badan kerana terlebih makan akibat cabaran yang dihadapi, dan (10.3%) cuba memadamkan memori trauma.

Secara kesimpulannya, tinjauan ini mendapati bahawa rakyat Malaysia semakin maklum tentang kesihatan mental mereka dan menyedari bahawa usaha mencapai kebahagiaan adalah satu proses. Hakikat ini jelas dilihat memandangkan 51.1% responden berkata mereka masih dalam proses menangani cabaran dan memahami bahawa usaha ini merupakan satu proses yang memerlukan masa yang panjang.

Penemuan daripada Survey ‘Kesejahteraan Bermula di Rumah 2023’ Gardenia KL telah dibincangkan dalam satu forum yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Gardenia KL yang disertai oleh pelumba basikal trek kebangsaan dan pemenang pingat perak Olimpik 2020 Tokyo, Datuk Azizulhasni Awang; Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar; Pengasas We & I Art, Zuraini Anuar; dan Pengurus Besar, Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia Bakeries KL, Hazlinah Harun.

Lawati Facebook (https://fb.watch/ksjwz0BfvR/?mibextid=cr9u03) dan Youtube (https://www.youtube.com/live/5Me7XdFwl8g?feature=share) @GardeniaKL untuk mengikuti perbincangan ‘Kesejahteraan Bermula di Rumah’ Gardenia KL.

ARTIKEL GARDENIA KL WELLNESS BEGINS AT HOME 2023