TINJAUAN GARDENIA KL BINCANG KORELASI KEBAHAGIAAN ZAMAN KANAK-KANAK DAN KESIHATAN MENTAL DEWASA

Kempen Gardenia KL ‘Kesejahteraan Bermula di Rumah’ bagi Menormalisasikan Perbincangan Kesihatan Mental di Kalangan Rakyat Malaysia

Shah Alam, 8 Jun 2023 – Satu tinjauan oleh Gardenia Bakeries KL (Gardenia KL) baru-baru ini mendedahkan bahawa 15.8% responden rakyat Malaysia mengalami zaman kanak-kanak yang penuh onak duri atau tidak bahagia. Tinjauan seterusnya mendedahkan korelasi antara responden yang mengalami zaman kanak-kanak yang tidak bahagia dengan kadar perceraian pada masa dewasa (12.8%), berbanding dengan kadar perceraian sebanyak 3.3% dalam kalangan responden yang mengalami zaman kanak-kanak yang agak bahagia.

Tinjauan itu menjadi landasan kempen Wellness Begins at Home 2023 Gardenia KL yang bertujuan untuk menggalakkan masyarakat beralih daripada perasaan tercabar kepada mentaliti pencabar. Tinjauan itu juga mengkaji cabaran utama dan kaitannya dengan isu kesihatan mental yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

“Gardenia KL memperkenalkan Kempen ‘Kesejahteraan Bermula di Rumah’ dengan tujuan mewujudkan ruang dan suasana yang selamat untuk menormalisasikan perbincangan mengenai kesihatan mental. Masyarakat pastinya lebih sedar tentang kepentingan kesihatan mental sekarang berbanding zaman dahulu. Namun, kami percaya masih ada ruang untuk mempertingkatkan kesedaran dan pendidikan, serta menghapuskan stigma apabila seseorang meminta bantuan untuk isu kesihatan mental. Peranan Gardenia KL adalah untuk menyediakan satu landasan untuk berkongsi mesej berimpak tinggi yang seterusnya menjadi pemangkin perubahan positif dalam ruangan ini,” jelas Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam, Gardenia KL, Hazlinah Harun.

Dalam tinjauan yang dijalankan, responden ditanya soalan aneka pilihan dan diberi peluang untuk memilih lebih daripada satu jawapan. Apabila ditanya tentang reaksi terhadap zaman kanak-kanak yang tidak bahagia, tiga jawapan teratas yang dikongsi ialah perasaan tegar responden yang tidak mahu menjadi seperti ibu bapa mereka (39.4%), selain tidak sabar untuk keluar dari rumah kediaman keluarga apabila mendapat peluang (25.3%). Sementara itu, 16.3% responden berkongsi ketidakupayaan mereka untuk mengubah situasi zaman kanak-kanak mereka kerana kekurangan pilihan pada masa itu.

Melihat pembezaan dari segi jantina, wanita didapati lebih cenderung untuk meninggalkan rumah lebih awal (15.2%) berbanding responden lelaki (7.7%).

Dapatan tinjauan juga mengesahkan peranan penting keluarga sebagai asas jati diri individu dan penanda aras yang mempengaruhi pilihan dan kecenderungan di zaman dewasa. Ia juga mendedahkan bahawa responden yang terasing daripada keluarga lebih cenderung untuk mengalami cabaran. Antara pemerhatian yang dikongsi oleh responden yang terasing dari keluarga ialah, 83% merasakan mereka menjadi panas baran, 80% merasakan mereka mengalami masalah kesihatan mental, manakala 83% mengalami kehilangan arah dalam hidup.

“Apabila seseorang menghadapi isu kesihatan mental, ia adalah satu perjalanan yang sukar,” jelas Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar. "Perkara yang paling penting ialah mengetahui bahawa anda tidak bersendirian, dan tidak kira apa yang berlaku, ia akan berlalu. Mintalah bantuan jika anda benar-benar bergelut, dan jangan berputus asa,” nasihatnya.

Tinjauan ‘Kalis Koyak’ oleh Gardenia KL telah dijalankan dengan kerjasama SOSCILI. Tinjauan itu mendapat maklum balas daripada 1,020 rakyat Malaysia berumur antara 17 tahun hingga 56 tahun dan ke atas, terutamanya yang menetap di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang. Responden terdiri daripada kalangan individu bujang dan pasangan suami isteri, baik yang mempunyai anak mahupun tanpa anak.

Jika anda atau seseorang yang anda kenali mengalami krisis kesihatan mental, sila hubungi MIASA melalui www.miasa.org.my yang menawarkan penilaian dan perundingan kesihatan mental, perkhidmatan kaunseling, terapi rohani, penilaian terapeutik, perkhidmatan psikologi dan sokongan rakan sebaya. Sebagai alternatif, hubungi talian bantuan 24 jam MIASA di 1-800-820-066.

Ikuti perbincangan Gardenia 'Wellness Begins at Home', dengan layari Facebook @GardeniaKL (https://ms-my.facebook.com/GardeniaKL/videos/edisi-2023-gardenia-kl-wellness-begins-at-home-gardeniacares/6469172759792449) dan Youtube (https://www.youtube.com/watch?v=bJteygW2HXE)