RAKYAT MALAYSIA MASIH RAGU-RAGU UNTUK MENDAPATKAN BANTUAN MENTAL PROFESIONAL

Hasil Kaji Selidik Gardenia KL Dapati Hanya 10.7% daripada Responden Berkata Mereka Cuba Mendapatkan Terapi

Shah Alam, 23 Ogos 2023 – Berita tentang kematian penyanyi pop Hong Kong, Coco Lee, baru-baru ini terus memaparkan kesan serius krisis kesihatan mental terhadap keluarga, komuniti dan juga negara. Kesihatan mental merupakan topik yang cukup lazim oleh kebanyakkan rakyat Malaysia, dengan hampir separuh daripada responden (42.7%) Kaji Selidik Kesejahteraan Bermula di Rumah Gardenia KL 2023 mengakui pernah mengalami isu kesihatan mental. Malah, satu daripada empat responden mengakui bahawa mereka pernah terfikir untuk membunuh diri akibat dari cabaran hidup. Dalam pada itu, hasil kaji selidik ini juga menunjukkan data yang membimbangkan iaitu perbezaan yang nyata antara individu yang menghadapi masalah mental berbanding kadar sebenar penghidap masalah mental yang mendapatkan bantuan profesional.

“Dalam tempoh tiga tahun lepas (sejak pandemik Covid-19 mula melanda), kesedaran mengenai kesihatan mental dilihat semakin meningkat. Terima kasih atas usaha bersama dan bersepadu oleh pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan, pertubuhan bukan berkeuntungan dan juga sektor swasta. Namun begitu, walaupun kesedaran itu penting, kaji selidik Kesejahteraan Bermula di Rumah 2023 mendapati kebanyakan responden masih tidak berusaha menangani isu kesihatan mental masing-masing walaupun menyedari mereka menghadapi masalah. Gardenia KL berharap untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia bergerak melepasi tahap kesedaran dan mengambil langkah berani untuk menambah baik kesihatan mental dengan membiasakan amalan mendapatkan khidmat kaunseling atau terapi. Sebagai sebuah komuniti, kita juga berperanan untuk menyingkirkan stigma dengan menunjukkan keprihatinan dan rasa hormat terhadap orang tersayang yang sedang menjalani terapi,” menurut Hazlinah Harun, Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam, Gardenia Bakeries KL.

Mengapa terapi atau kaunseling masih tidak dianggap sebagai amalan biasa di Malaysia?
Tingkah laku 1,020 responden yang dikaji selidik oleh Gardenia KL boleh menggambarkan jawapan kepada soalan ini. Menurut kaji selidik tersebut, tiga tindakan utama yang menjadi pilihan responden apabila menghadapi cabaran mental adalah lebih kepada bersifat mengelak atau pasif. Seramai 49.41% berharap badai akan berlalu akhirnya, 43.51% berpaling pada Tuhan, manakala 40.45% membuat keputusan untuk mengabaikan masalah sama sekali. Bagi pilihan yang kurang mendapat sambutan pula, 23.47% meminta bantuan daripada rakan-rakan dan hanya 10.7% meminta bantuan ahli terapi atau pakar psikologi.

Semasa sesi perbincangan panel tentang Kesejahteraan Bermula di Rumah Gardenia KL 2023, Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar, menekankan betapa pentingnya meluahkan perasaan dengan berbicara dengan orang lain. “Sesuatu cabaran itu boleh melemahkan keupayaan seseorang jika tidak mendapat bantuan yang diperlukan. Berdasarkan pengalaman kami, satu pola telah dapat diperhatikan. Pada masa yang terdekat, terdapat kemungkinan orang yang mengalami gangguan mental di Malaysia adalah lebih tinggi daripada bilangan orang yang sihat. Sebab itulah kita perlu berkongsi mesej ini dengan rakyat Malaysia bahawa kita tidak keseorangan, bahawa (cabaran) ini juga akan berlalu dan cuba dapatkan bantuan. Sistem sokongan yang baik dan boleh dipercayai dalam hidup kita adalah merupakan salah satu faktor penting yang boleh memupuk kepada minda yang sihat.”

Berikut adalah beberapa cadangan yang boleh membantu mereka yang baru memulakan langkah untuk mendapatkan bantuan profesional:
1. Lakukan ujian skala tekanan dan keresahan untuk membuat penilaian asas
"Saya mengesyorkan kepada sesiapa yang tidak pasti atau tidak tahu sama ada mereka memerlukan terapi agar mengambil ujian skala tekanan dan keresahan terlebih dahulu. Ini bukan ujian klinikal, tetapi membantu mengukur tahap tekanan dan keresahan kita. Jika keputusan dinilai sebagai 'teruk,' di situlah anda tahu anda perlu berjumpa dengan seorang ahli psikiatri klinikal," kata Anita. Lihat ujian kendiri Skala Kemurungan, Keresahan & Tekanan (DASS) di mentari.moh.gov.my/self-test/

2. Dapatkan rundingan dalam talian dahulu
Rundingan dalam talian boleh menjadi satu pilihan dan berguna buat mereka yang resah atau keberatan untuk bercakap dengan ahli psikiatri secara bersemuka. Selepas itu, buat janji temu untuk rundingan secara bersemuka apabila anda rasa lebih selesa.

3. Perlu diingat bahawa terapi ialah satu perjalanan yang panjang
Anita menambah bahawa menjalani terapi ialah proses yang mengambil masa sebelum keadaan mental bertambah baik. “Kita perlu melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada kesejahteraan mental kita. Kita perlu kekal positif sepanjang perjalanan ini dan jangan putus asa, tidak kira betapa mencabar situasi atau berapa banyak halangan yang perlu kita atasi.”

Jika anda atau seseorang yang anda kenali mengalami krisis kesihatan mental, sila hubungi MIASA melalui www.miasa.org.my yang menawarkan penilaian dan perundingan kesihatan mental, perkhidmatan kaunseling, terapi rohani, penilaian terapeutik, perkhidmatan psikologi dan sokongan rakan sebaya. Sebagai alternatif, hubungi talian bantuan 24 jam MIASA di 1-800-820-066.

Kunjungi Facebook dan Youtube @GardeniaKL untuk mengikuti perbincangan ‘Kesejahteraan Bermula di Rumah’ Gardenia KL.