PROGRAM BANTUAN COVID-19 GARDENIA DITERUSKAN, SUMBANGAN PEK PEMBERIAN RAMADHAN BERNILAI LEBIH RM167,000

Gardenia Berganding Dengan Rakan-Rakan Seperjuangan PPIM, PPZ-MAIWP Dan JAWI Menghulurkan Bantuan Bagi Manfaat Lebih Ramai Golongan B40 Di Bulan Ramadhan

Kuala Lumpur, 4 Mei 2020 - Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (GBKL) kini berganding bahu dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk terus menghulurkan bantuan kepada lebih banyak isi rumah di bawah kategori B40 sepanjang bulan Ramadhan ini.

Dalam usaha meneruskan kelangsungan Program RM1Juta Bantuan Covid-19 Gardenia, bantuan Ramadhan ini, yang bernilai lebih daripada RM 167,000, juga bakal membantu petugas barisan hadapan seperti penghantar makanan Grab serta pemandu Teksi yang berusaha menawarkan perkhidmatan kritikal kepada komuniti sepanjang bulan puasa ini.

“Gardenia mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Ramadhan dan selamat menunaikan ibadah berpuasa kepada Muslimin dan Muslimat sekalian. Setiap umat Islam di negara ini sedang menjalani ibadah puasa yang cukup berbeza pada tahun ini. Pada masa yang sama, kami memahami ada keluarga yang menghadapi kesukaran dalam menyediakan makanan untuk seisi rumah kerana kehilangan mata pencarian. Realiti ini membawa kepada usaha meraih sokongan rakan-rakan seperjuangan kami bagi menyempurnakan sumbangan Bantuan Covid-19 Gardenia fasa seterusnya,” jelas Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam) GBKL, Puan Hazlinah Harun.

“Menerusi rangkaian kerjasama PPIM, PPZ-MAIWP dan JAWI, kami mampu memperluas jangkauan Program Bantuan Covid-19 Gardenia untuk merangkumi lebih banyak isi rumah yang memerlukan dan membantu meringankan beban petugas barisan hadapan. Kami berharap pek sumbangan Ramadhan Gardenia ini membolehkan golongan kurang berkemampuan di bandar serta para petugas perkhidmatan kritikal menikmati santapan secara mudah dan pantas ketika bersahur di permulaan hari atau semasa berbuka puasa di penghujung hari," kata Hazlinah.

Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan, sangat menghargai sokongan GBKL. “Sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac, PPIM telah menjangka terdapat golongan masyarakat yang memerlukan bantuan dan melancarkan 'Projek Zero Hunger'. Kesejahteraan sosio-ekonomi masyarakat adalah keutamaan bagi PPIM dan kami berterima kasih kepada Gardenia kerana tampil memberikan sumbangan produk yang bermanfaat kepada golongan miskin di bandar yang telah menghubungi kami untuk mendapatkan bantuan. Sejurus mengenal pasti lebih daripada 10,000 isi rumah yang memerlukan, PPIM telah bertindak menggerakkan sebuah pasukan untuk mengedarkan Pek Sumbangan Ramadhan Gardenia bagi membantu mengurangkan bebanan keluarga-keluarga ini, ” katanya.

GBKL, bersama PPIM menerusi 'Projek Zero Hunger' yang masih aktif, akan mengedarkan sebanyak 10,000 Pek Sumbangan Ramadhan Gardenia kepada isi rumah golongan B40 yang dikenalpasti di lima lokasi, termasuk Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju dan Rawang.

Bagi membantu Gardenia meluaskan jangkauan bantuannya, PPZ-MAIWP akan mengedarkan 300 Pek Sumbangan Ramadhan Gardenia sebagai tanda penghargaan kepada barisan hadapan, termasuk para penghantar makanan Grab dan pemandu Teksi. Setiap Pek Sumbangan Ramadhan Gardenia mengandungi Ban Berinti Gardenia (Gardenia Fluffy Buns), Muffin Quick Bites, mi kuning Numee Gardenia dan sekotak kurma.

Selain daripada itu, Gardenia juga menyediakan tambahan sumbangan sebanyak 5,000 Roti Krim Delicia dan Ban Sambal Bilis, yang diedarkan bersama dengan pihak JAWI di bawah inisiatif JAWI Food Bank, kepada penduduk yang tinggal di Selangor Mansion, Malayan Mansion dan May Tower di sekitar kawasan Masjid India, Kuala Lumpur.

Hazlinah mengucapkan terima kasih kepada PPIM, PPZ-MAIWP dan JAWI atas usaha sama memperluaskan jangkauan sumbangan. Dalam masa yang sama, beliau menggesa rakyat Malaysia agar menyahut seruan kerajaan untuk mengamalkan tabiat menjaga kebersihan sebaik mungkin serta penjarakkan sosial. "Sejak permulaan operasi kami 34 tahun yang lalu, Gardenia telah banyak membantu kumpulan-kumpulan yang memerlukan, dan kami akan meneruskan usaha ini, " tambah Hazlinah lagi.

GBKL telah memperuntukkan lebih RM1 Juta dalam bentuk bantuan khas buat masyarakat di seluruh Semenanjung Malaysia semasa dan selepas tempoh PKP.

Sepanjang tempoh dari 18 Mac hingga 3 Mei, GBKL telah menyumbangkan lebih daripada 77,500 produk keluaran Gardenia, yang bernilai lebih kurang RM148,000 bagi tujuan membantu keluarga-keluarga di bawah kategori B40, para petugas barisan hadapan yang berjuang menentang wabak serta para pelajar yang bergantung kepada Program Food Bank.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi GBKL melalui e-mel customer_service@gardenia.com.my