GARDENIA-MIASA KETENGAHKAN ISU KESEJAHTERAAN MINDA DI RUMAH

Tinjau selidik ke atas rakyat Malaysia di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dedahkan Tingkah Laku Kurang Menonjol yang Boleh Dijadikan Pengukur Kesihatan Mental

Shah Alam, 12 Oktober 2021 – Sempena dengan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut setiap tahun pada 10 September, Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd (Gardenia KL), dengan kerjasama Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), ingin memastikan bahawa perbincangan tentang kesihatan mental diteruskan, terutamanya dalam kalangan ahli keluarga di rumah.

“Malaysia sudah melangkah jauh dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental tetapi masih banyak yang perlu dilakukan. Pandemik semasa telah meningkatkan cabaran kesihatan mental dalam kalangan masyarakat dan Gardenia percaya perbincangan berterusan amat diperlukan untuk membantu masyarakat mengharungi normal baharu. Sebagai jenama yang prihatin terhadap masyarakat, Gardenia KL memulakan usaha ini dengan meninjau cara rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan perintah kawalan menerusi tinjau selidik yang dikendalikan oleh rakan komuniti kami Cilisos Media. Hasil tinjauan berguna untuk mengenal pasti tanda amaran kesihatan yang sering diabaikan oleh kebanyakan daripada kita. Bersama rakan-rakan kami daripada MIASA, Gardenia bercadang untuk meneruskan perbincangan dengan harapan lebih banyak tindakan diambil untuk meningkatkan kesejahteraan minda kita,” jelas Hazlinah Harun, Pengurus Besar, Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL.

Menurut aktivis kesihatan mental dan Presiden dan Pengasas MIASA, Anita Abu Bakar, "Sungguh memberangsangkan menyaksikan pelbagai pihak bersatu untuk memperkasakan komuniti dan saling menyokong dalam masa-masa mencabar ini. Kesihatan mental sudah lama diabaikan. Ketika wabak ini melanda, banyak yang terkesan dari segi psikologi dan emosi. Menerusi kerjasama ini, kami berharap dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan menekankan aspek #kitajagakita tanpa ada yang ketinggalan. Sungguhpun ketika bekerja secara terasing, kita mampu menyelesaikan sesuatu, namun apabila kita bekerja bersama, kita mampu menciptakan keajaiban.”

Tinjau selidik ini dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, dengan penyertaan sejumlah 1,029 responden yang berusia dari 17 hingga 60 tahun dan lebih. Responden terdiri daripada semua lapisan masyarakat termasuk individu bujang, ibu bapa tunggal dan pasangan berkahwin yang mempunyai atau tiada anak.

Apabila ditanya tentang kesan bekerja dan belajar dari rumah akibat sekatan pergerakan, responden telah berkongsi reaksi mereka kepada pelbagai perubahan gaya hidup yang dihadapi. Ini termasuk waktu makan, pengurusan tekanan, gaya asuhan, corak tidur, senaman, dan juga pengurusan masa dan ruang.

Satu penemuan penting daripada tinjau selidik ini ialah 67.1% daripada responden mengakui bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan kesan ketara terhadap kesihatan mental mereka. Antara cabaran yang dinyatakan oleh responden ialah beralih kepada bekerja dari jauh atau bekerja dari rumah, termasuk kelesuan mental, keresahan atau kemurungan, dan sering terasa tak senang duduk. Malah, 5% daripada responden mengakui pernah terlintas di hati mereka untuk membunuh diri, dan 2.4% juga mendedahkan pernah bertindak mencederakan diri sendiri.

Sekiranya anda atau seseorang yang anda kenal mengalami krisis kesihatan mental, sila hubungi MIASA melalui www.miasa.org.my yang menawarkan penilaian dan konsultasi kesihatan mental, khidmat kaunseling, terapi kerohanian, penilaian terapi, perkhidmatan psikologi, serta sokongan rakan sebaya. Sebagai alternatif, hubungi talian bantuan MIASA 24-jam di 1-800-820-066.

Aktivis selebriti kesihatan mental dan Penaung MIASA, Che Puan Sarimah Ibrahim berkata, "Ia amat penting untuk kita, sebagai masyarakat, mengenali tanda-tanda dan gejala masalah kesihatan mental agar dapat mencegahnya daripada menjadi krisis kesihatan mental. Saya percaya bahawa pendidikan mengenai kesihatan mental secara keseluruhan adalah satu-satunya kunci untuk merealisasikan matlamat ini. Negara produktif dan sihat adalah sebuah negara yang mengutamakan dan memelihara kesihatan fizikal dan mentalnya rakyatnya."

Dalam soal makan, kira-kira dua pertiga (63%) responden berkata mereka makan sesuka hati mereka, dengan lebih kurang satu pertiga (37%) berkata mereka makan pada waktu makan biasa. Malah, 3.7% berkata mereka terpaksa mengikat perut kerana kekangan kewangan. Majoriti daripada responden ini berasal dari negeri-negeri pantai timur iaitu Pahang dan Kelantan.

Responden yang menyatakan mereka mengalami satu bentuk penyakit mental tanpa pengambilan ubat berkata mereka kurang tidur semasa PKP, iaitu kira-kira 31 minit kurang daripada purata enam jam. Sekatan pergerakan telah menambah rasa sunyi dalam kalangan responden, dengan 24.8% berkata mereka tidak berinteraksi dengan sesiapa di luar isi rumah mereka selama lebih daripada tiga hari, dan 12.2% tidak berinteraksi dengan sesiapa pun selama lebih daripada tiga hari.

Tambahan lagi, 16.6% daripada responden mengakui memakai pakaian sama selama tiga hari atau lebih. Sebanyak 4.43% responden menyatakan mereka membiarkan pinggan tidak dibasuh, manakala 14.5% berkata mereka tidak membersihkan bilik atau rumah sehingga sudah jelas berselerak. Semua ini dianggap sebagai petunjuk dan isyarat oleh pakar-pakar kesihatan mental yang memerhatikan tanda-tanda hilang minat dalam hampir semua aktiviti untuk sebahagian besar daripada hari, untuk sekurangnya-kurangnya dua minggu. Mengalami kemurungan atau gangguan untuk tempoh masa yang lama juga perubahan nyata yang boleh diperhatikan apabila menilai kesejahteraan minda.

Satu trend jelas yang dilihat menerusi tinjau selidik tersebut ialah kaitan antara rumah yang dikongsi bersama dan kesihatan mental. Mereka yang hidup dengan keluarga lebih besar mengalami kesan mental lebih ringan berbanding kumpulan lain. Sebagai contoh, mereka yang tinggal bersama anak anak dan suami/isteri adalah 23% kurang mengalami tekanan emosi atau rasa resah atau murung. Mereka juga berkemungkinan 40% lebih rendah terfikir untuk membunuh diri dan juga mempunyai kebarangkalian 62% lebih rendah untuk melakukan sesuatu yang memudaratkan diri. Responden yang hidup bersendirian didapati mempunyai 25% kemungkinan mengalami keresahan dan kemurungan berbanding rakyat Malaysia biasa dan mempunyai kecenderungan 69% lebih tinggi untuk mempertimbangkan bunuh diri.

Penemuan daripada Tinjau Selidik ‘Wellness Begins At Home’ (Kesejahteraan Bermula di Rumah) Gardenia dibincangkan menerusi forum yang disiarkan secara langsung di Facebook @GardeniaKL bersama para aktivis kesihatan mental; Presiden MIASA, Anita Abu Bakar, Penaung MIASA, Che Puan Sarimah Ibrahim; dan Pengurus Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun.

Gardenia KL terus memberi sokongan padu kepada negara sambil kita kembali pulih daripada pandemik COVID-19. Pada awal tahun lepas, syarikat memperuntukkan RM1 juta kepada Program Bantuan Covid-19 Gardenia untuk meringankan beban akibat kesan Perintah Kawalan Pergerakan ke atas isi rumah B40. Setakat ini, Program Bantuan Covid-19 Gardenia telah menyempurnakan pengagihan bantuan di bawah peruntukan RM1 juta. Inisiatif ini telah membawa manfaat kepada Program Bantuan Makanan, isi rumah B40 dan pekerja barisan hadapan termasuk penghantar barangan dan pemandu teksi yang menyediakan perkhidmatan penting kepada masyarakat sejak Mac 2020.

Lawat @GardeniaKL di Facebook untuk menonton perbincangan Gardenia ‘Wellness Begins at Home’ dengan aktivis kesihatan mental dari MIASA.

Pautan untuk maklumat lanjut tentang tinjauan selidik Gardenia ‘Wellness Begins at Home’: https://bit.ly/GardeniaWellnessBeginsAtHome
https://bit.ly/GardeniaWellnessBeginsAtHome